Di KANGAR, pelajar lelaki sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini cedera parah di muka dan tangan selepas disimbah asid di depan rumah sewanya di Taman Seri Bakau, di sini, awal pagi kelmarin.
Mangsa berusia 21 tahun terkena cecair terbabit ketika sedang menutup pintu pagar rumah sebelum didatangi seorang lelaki menaiki motosikal yang bertindak menyimbah asid dalam kejadian jam 4.15 pagi.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, berkata mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) mendapat rawatan dan keadaannya dilaporkan parah, tetapi stabil.
Sehubungan itu, katanya, polis menahan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun kira-kira 12 jam selepas kejadian itu bagi membantu siasatan.
“Suspek yang bekerja sebagai buruh ditahan di rumahnya di Simpang Empat, dekat sini. Mangsa dikatakan mengenali suspek dan tidak menolak kemungkinan serangan asid itu bermotifkan cemburu.
“Siasatan awal mendapati suspek cemburu dengan tindakan mangsa yang berjaya memikat seorang pondan hingga menetap bersama mangsa di rumah sewa di Taman Seri Bakau,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

0 comments:
Post a Comment